Thursday, November 15, 2007

Seni itu indah



Assalamualaikum...


Seni itu satu kaedah untuk sesiapa saja memperlihatkan apa yang tersirat dalam diri seseorang. Walaupun manusia kini lebih gemar "straight forward" yang kononnya lebih baik namun ada ketikanya manusia akan meluahkannya dalam benttuk kata-kata yang berkias umpamanya lirik lagu, pantun, syair, gurindam, sajak dan perumpamaan. Semua ini adalah di antara kaedah penyampaian maksud yang bersandarkan kepada keindahan namun ianya mendokong mesej yang jelas. Kaedah ini juga terdapat dalam Al-Ouran yang mana ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Quran itu diturunkan dengan susunan bahasa yang indah kiasnya tetapi jelas maksudnya bersesuaian dengan apa yang disukai Allah iaitu keindahan.




Dr. Sidi Gazalba menyatakan bahawa seni itu indah dan indah itu adalah baik. Menurut beliau sesebuah karya seni itu perlu ada unsur-unsur kebaikan, kebenaran dan nilai-nilai moral yang tinggi. Beliau banyak memperkatakan tentang kesenian dalam Islam. Menurut pengkaji seni, seni Islam telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. namun ketika itu kesenian Islam tidak begitu jelas, kabur dan terlalu sedikit. Ini kerana ianya merupakan zaman peralihan bagi umat Islam membetulkan akidah tauhid dan umat Islam juga dalam keadaan berwaspada dan bersiap sedia mengawasi ancaman pihak musuh. Setelah Islam mula berkembang dan bertapak maka seni Islam mula tumbuh dan berkembang. Umat Islam yang berperang telah berkesempatan melihat dan mengenal kesan-kesan sejarah dan kesenian yang terdapat di daerah-daerah baru. Ramai yang tinggal menetap dan mengalami hidup dan suasana baru di tempat yang telah ditakluki. Dengan itu Islam mula bertapak di daerah baru. Proses asimilasi berlaku antara masyarakat, kebudayaan dan kesenian yang berlandaskan ajaran Islam. Sebagai Addin, Islam membawa satu cara hidup yang sempurna meliputi keduniaan dan akhirat. Islam sebagai Addin membuka ruang yang seluas-luasnya kepada para seniman untuk melahirkan pengucapan rasa keindahan dan pengalaman yang lahir dari naluri asasi manusia yang sememangnya mengarah ke arah keselamatan, kesenangan dan keindahan.Maksud hadis Nabi s.a.w, "Allah itu indah dan sukakan keindahan". Bertitik-tolak dari sini, kesedaran tentang keindahan adalah antara suatu faktor penting dalam Islam. Keindahan adalah suatu kesedaran dan kebenaran dalam penciptaan. Allah s.w.t. menyuruh hamba-Nya menikmati segala yang baik-baik dalam kehidupan di dunia. Seseorang itu menghalang perjalanan dan naluri semulajadi manusia yang di beri Allah s.w.t. jika ia tidak mempunyai kesedaran terhadap keindahan. Sifat kemanusiaan menjadi kurang jika tidak mempunyai kepekaan mengenai seni.

Monday, November 12, 2007

Seni: Satu Definisi



"SENI adalah bahasa visual yang sukar difahami tetapi indah untuk direnungi, tulis pemikir Britain, John Ruskin dalam pendahuluan bukunya Modern Painter. Edisi pertamanya diterbitkan sejak 1888.Pandangan serta kesimpulan yang sama turut dinyatakan oleh seorang lagi penyair dan pengkritik seni dari negara itu, Herbert Read dalam bukunya The Meaning of Art dan The Philosophy of Modern Art.Dalam The Philosophy of Modern Art, Read menghuraikan makna yang paling mendasar tentang seni yang disimpulkan daripada sebuah penelitian panjang serta terperinci.Namun, biar apapun kesimpulan yang dibuat oleh Ruskin dan Read, makna seni itu sendiri cukup menarik untuk dilihat dan direnungi dalam konteks perkembangan mutakhir seni tampak di negara ini.Seni bukan sahaja sebagai elemen yang memaparkan estetika dan kehalusan tetapi sebuah medium yang boleh menghubungkan antara masyarakat, bangsa dan negara.Dengan lain perkataan, jika dapat disimpulkan daripada pandangan kedua-dua pemikir tersebut, seni mampu memikul pelbagai fungsi termasuk sebagai medium komunikasi dan persatuan.Pameran Artriangle anjuran Kumpulan Matahati yang berlangsung Sokka Gakai Malaysia, di Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan cerminan seni sebagai alat komunikatif yang melangkaui batas politik dan geografi.Artriangle merupakan pameran 66 pelukis oleh pelukis dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina. Mereka berasas daripada pelbagai aliran seni lukis dan peringkat usia.Konsep Artriangle itu sendiri merupakan simbol penyertaan tiga negara yang terpisah oleh geopolitik, geobudaya, geografi dan bahasa tetapi bersatu dalam ikatan seni.Pameran itu juga merupakan sebahagian daripada wadah untuk kebajikan dan kesejahteraan iaitu 50 peratus hasil jualan karya akan didermakan kepada Tabung Seni Matahati.Antara lain, untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam, kemalangan, individu yang memerlukan kewangan bagi rawatan kesihatan dan juga bantuan untuk kematian.BergabungDari Malaysia tercatat seramai 48 pelukis, 11 dari Indonesia dan tujuh dari Filipina. Mereka bergabung di atas dasar bahawa seni tidak pernah mempunyai sempadan.Antara pelukis Malaysia yang mengambil bahagian ialah Jailani Abu Hassan, Ramlan Abdullah, Ahmad Syukri Mohamed, Ahmad Fuad Osman, Suzlee Ibrahim, Mohd. Suhaimi Tohid, Shia Yih Ying, Kow Leong Kiang dan Bayu Utomo Radjikin.Pelukis-pelukis Indonesia pula antaranya Januri, Agus Purnomo, Dadi Setiadi, Luddy Astagis, Heri Purwanto, Yaksa Agus, Eddy Sulistyo, Tasiman, Suryadi, Saftari dan Slamet Soneo Santoso.Sementara itu, antara pelukis Filipina yang mengambil bahagian ialah Julio Austria , Lawrence Borsoto, Joseph Ermi Lofranco, Chriseo Sipat, Christian Tamondong dan Wilfredo Alicdan.Sebenarnya Artringle juga membawa pengertian yang cukup besar dari aspek perkembangan seni catan di Malaysia. Ia mampu menjadi medium pertukaran idea kreatif.Semua aliran dalam seni catan terhimpun. Antara lain kerana terdapat pelukis dari ketiga-tiga yang merupakan menekuni aliran realisme, abstrak, seni cetakan dan sebagainya.Suzlee Ibrahim misalnya merupakan pelukis abstrak ekspresionisme. Dalam konteks karyanya, beliau berkomunikasi dengan khalayak melalui warna dan sapuan berus pada permukaan kanvas.Dia tidak memikirkan pembaziran warna dengan menggunakan sapuan warna yang berulang di dada kanvas yang sama. Juga, tidak penting bagi beliau berapa lama untuk menyiap sesebuah catan. Apa yang penting untuk pelukis aliran ini ialah luahan emosi pelukis semata-mata.Pendekatan yang sama turut diketengahkan oleh pelukis abstrak lain seperti Mohd. Kamal Sabran (Malaysia) dan Julio Austria (Filipina).Jailani Abu Hassan mungkin bereksperimen dalam karya terbarunya Silat Harimau (2007). Ia cenderung kepada karya ekspresionis iaitu berbeza dengan siri-sirinya sebelum ini. Warna merah sangat dominan hingga menenggelamkan imej pada permukaan kanvas.Karya-karya Jailani, Suzlee, Mohd. Kamal dan Julio hanyalah contoh sebuah komunikasi menerusi warna dan bahasa visual yang tertera pada kanvas kerana seni boleh bercerita tentang apa yang gagal diungkapkan oleh lisan.“Semua aliran dalam seni lukis ketiga-tiga negara bergabung di bawah satu bumbung dalam Artriangle tetapi kita mempunyai tujuan yang sama.., untuk kemanusiaan dan seni lukis itu sendiri.“Melalui seni kita dapat berbicara tentang dunia yang tidak pernah dibatasi oleh politik, geografi, bahasa dan kebudayaan. Ini adalah bahasa visual untuk perpaduan dan kesatuan,” kata koordinator Matahati, Bayu Utomo Radjikin."

Mengapa seni visual sering dianggap tidak ada masa depan?



Bukan untuk menyangkal pendapat sesiapa tetapi cuma ingin berkongsi sedikit luahan yang sudah agak lama terbuku dalam lubuk hati dan sering berlegar di benak minda yang sering meronta untuk menyatakan sesuatu mengenai tajuk kali ini.


Seringkali kita dengar ramai yang mengatakan terutamanya ahli masyarakat yang bergelar ibu bapa yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap anak-anak mereka yang begitu meminati seni. Mereka ini sering berpendapat bahawa bidang ini tidak ada masa depan, membuang masa dan melalaikan. Benarkah begitu? Benarkah tidak ada masa depan langsung dalam bidang ini? Di negara-negara luar, bidang seni ini sememangnya ada masa depan yang cerah. Bidang ini terutamanya di Hong Kong telah berkembang maju seiring dengan bidang penyumbang perkembangan ekonomi yang lain di negara itu. Malah industri penerbitan komik di sana telah berjaya meletakkan nama negara itu di mata dunia dan berjaya meletakkan syarikat penerbitan komik mereka di papan utama bursa saham mereka. Nama-nama besar industri ini seperti Ma Wing Shing, Tony Wong, Wan Yat Leung, Andy Seto dan ramai lagi sudah pun berjaya mengangkat bidang ini setaraf dengan industri lain di negara mereka. Tony Wong misalnya, telah bergiat aktif dalam bidang penerbitan ini lebih 30 tahun dan sekarang telah berjaya meletakkan dirinya antara ahli perniagaan yang terkaya di Hong Kong hanya dengan menerbitkan komik. Semua ini tidak akan tercapai ssekiranya masyarakat di sana tidak menyokong penuh untuk industri penerbitan komik ini untuk berkembang. Inikah yang dikatakan dengan tiada masa depan yang cerah? Tidak ada istilah seperti ini di negara mereka. Apa sahaja mempunyai peluang yang sama rata asalkan sama-sama saling menyokong antara satu sama lain.

Namun begitu di Malaysia seolah-olah ada "double standard" dalam hal ini. Bidang seni yang lain d negara ini sebenarnya cukup di beri perhatian oleh masyarakat kita tapi tidak terhadap seni visual. Seni visual di Malaysia cukup berpotensi untuk berkembang maju kerana kepelbagaian budaya dan warisan yang terdapat dalam masyarakatnya yang majmuk ini. Masyarakat kita kaya dengan seni visual yang indah, halus dan berprofil tinggi dari sudut estetikanya. Kehidupan yang penuh dengan warna-warni yang terhasil daripada gabungan pelbagai kaum dan bangsa serta dengan perkembang kemajuan teknologi ICT di negara ini sebenarnya cukup untuk menjadi pemangkin kepada industri seni visual dan animasi di negara ini. Bukan tidak ada nama-nama artis seni visual yang gah di Malaysia ini seperti Shaari Sulong aka Aie, Ujang, Adijin, Jaafar Taib, Dato' Lat dan ramai lagi tetapi seperti biasa masyarakat kita masih lagi terbuai-buai dengan hasil karya luar negara yang standardnya lebih kurang sama sahaja dengan hasil karya artis tempatan. Sesungguhnya karya anak watan seperti dianaktirikan. Tidak berpeluang untuk menunjukkan dan membuktikan bahawa bakat mereka bukan sahaja setanding tapi juga ada yang jauh lebih baik. Ada diantara artis seni visual Malaysia ini terpaksa membawa diri dan karya mereka jauh ke perantauan untuk menagih pengiktirafan dan ternyata mereka meraih pengiktirafan itu dari bangsa yang bukan dari negara sendiri tapi orang asing yang masih hijau tentang seni bangsa Malaysia. Kenapa harus begini? Kenapa kita mengangkat karya luar dan seronok dengan apa yang orang luar hasilkan tetapi dalam masa yang sama kita bunuh kreativiti bangsa Malaysia sendiri? Kenapa kera di hutan kita susukan dan kita biarkan anak kita mati kelaparan? Seeloknya berilah ruang kepada pengkarya tempatan untuk bernafas lega di bumi sendiri. Siapa yang boleh menolong mereka kalau bukan kita, yang hidup di bumi yang sama bumi Malaysia.

Renungkanlah dan fikirkanlah..

Selamat Datang Ke Blog Wanz's Art Region


Assalamualaikum...

Selamat datang ke Wanz's Art Region. Laman ini dibina untuk sesiapa sahaja mengetahui dan meneroka dunia seni samada yang meminati seni, yang baru berjinak-jinak dengan dunia seni atau mereka yang hanya sekadar ingin tahu tentang dunia seni. Diharapkan dengan terbinanya laman ini dapat memberi ruang yang seluas mungkin untuk kita sama-sama berkongsi idea, info, pengalaman, ilmu dan bahan yang berkaitan dengan dunia seni. Semoga kemunculan Wanz's Art Region dalam komuniti blogspot dapat memeriahkan dan menambahkan lagi warna-warni arena "Blogging" ketika ini.