Monday, November 12, 2007

Mengapa seni visual sering dianggap tidak ada masa depan?



Bukan untuk menyangkal pendapat sesiapa tetapi cuma ingin berkongsi sedikit luahan yang sudah agak lama terbuku dalam lubuk hati dan sering berlegar di benak minda yang sering meronta untuk menyatakan sesuatu mengenai tajuk kali ini.


Seringkali kita dengar ramai yang mengatakan terutamanya ahli masyarakat yang bergelar ibu bapa yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap anak-anak mereka yang begitu meminati seni. Mereka ini sering berpendapat bahawa bidang ini tidak ada masa depan, membuang masa dan melalaikan. Benarkah begitu? Benarkah tidak ada masa depan langsung dalam bidang ini? Di negara-negara luar, bidang seni ini sememangnya ada masa depan yang cerah. Bidang ini terutamanya di Hong Kong telah berkembang maju seiring dengan bidang penyumbang perkembangan ekonomi yang lain di negara itu. Malah industri penerbitan komik di sana telah berjaya meletakkan nama negara itu di mata dunia dan berjaya meletakkan syarikat penerbitan komik mereka di papan utama bursa saham mereka. Nama-nama besar industri ini seperti Ma Wing Shing, Tony Wong, Wan Yat Leung, Andy Seto dan ramai lagi sudah pun berjaya mengangkat bidang ini setaraf dengan industri lain di negara mereka. Tony Wong misalnya, telah bergiat aktif dalam bidang penerbitan ini lebih 30 tahun dan sekarang telah berjaya meletakkan dirinya antara ahli perniagaan yang terkaya di Hong Kong hanya dengan menerbitkan komik. Semua ini tidak akan tercapai ssekiranya masyarakat di sana tidak menyokong penuh untuk industri penerbitan komik ini untuk berkembang. Inikah yang dikatakan dengan tiada masa depan yang cerah? Tidak ada istilah seperti ini di negara mereka. Apa sahaja mempunyai peluang yang sama rata asalkan sama-sama saling menyokong antara satu sama lain.

Namun begitu di Malaysia seolah-olah ada "double standard" dalam hal ini. Bidang seni yang lain d negara ini sebenarnya cukup di beri perhatian oleh masyarakat kita tapi tidak terhadap seni visual. Seni visual di Malaysia cukup berpotensi untuk berkembang maju kerana kepelbagaian budaya dan warisan yang terdapat dalam masyarakatnya yang majmuk ini. Masyarakat kita kaya dengan seni visual yang indah, halus dan berprofil tinggi dari sudut estetikanya. Kehidupan yang penuh dengan warna-warni yang terhasil daripada gabungan pelbagai kaum dan bangsa serta dengan perkembang kemajuan teknologi ICT di negara ini sebenarnya cukup untuk menjadi pemangkin kepada industri seni visual dan animasi di negara ini. Bukan tidak ada nama-nama artis seni visual yang gah di Malaysia ini seperti Shaari Sulong aka Aie, Ujang, Adijin, Jaafar Taib, Dato' Lat dan ramai lagi tetapi seperti biasa masyarakat kita masih lagi terbuai-buai dengan hasil karya luar negara yang standardnya lebih kurang sama sahaja dengan hasil karya artis tempatan. Sesungguhnya karya anak watan seperti dianaktirikan. Tidak berpeluang untuk menunjukkan dan membuktikan bahawa bakat mereka bukan sahaja setanding tapi juga ada yang jauh lebih baik. Ada diantara artis seni visual Malaysia ini terpaksa membawa diri dan karya mereka jauh ke perantauan untuk menagih pengiktirafan dan ternyata mereka meraih pengiktirafan itu dari bangsa yang bukan dari negara sendiri tapi orang asing yang masih hijau tentang seni bangsa Malaysia. Kenapa harus begini? Kenapa kita mengangkat karya luar dan seronok dengan apa yang orang luar hasilkan tetapi dalam masa yang sama kita bunuh kreativiti bangsa Malaysia sendiri? Kenapa kera di hutan kita susukan dan kita biarkan anak kita mati kelaparan? Seeloknya berilah ruang kepada pengkarya tempatan untuk bernafas lega di bumi sendiri. Siapa yang boleh menolong mereka kalau bukan kita, yang hidup di bumi yang sama bumi Malaysia.

Renungkanlah dan fikirkanlah..

No comments: